Tuesday, 30 July 2013

Formula M.E.S.T.I

Pada post saya sebelum ini saya ada menceritakan mengenai Formula M.E.S.T.I.


Jadi untuk post kali ini saya ingin menyentuh mengenai huruf M.


Di dalam formula M.E.S.T.I ini, huruf M membawa maksud mentor.

Sejak kecil lagi kita telah diperkenalkan dengan Mentor, cuma kita panggil Cikgu, Ustaz atau Ustazah. Mereka telah memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk mendidik anak bangsa agar menjadi seseorang yang berpengetahuan.

Ilmu yang telah kita timba untuk telah sedikit sebanyak membentuk diri kita.

Tanpa petunjuk ilmu daripada mereka, kita mungkin tersesat di dalam "puzzle maze" seperti di atas.

TETAPI

Ramai di antara kita mula lupa peranan seorang Mentor dalam membantu kita berjaya di dalam sesuatu bidang. Saya sendiri pada mulanya agak "angkuh" untuk terus menuntut ilmu. Bagi saya segulung ijazah daripada Universiti Awam di Jepun mampu membawa kejayaan saya di dalam kehidupan ini.

Anggapan ini mula terkikis apabila saya mula bekerja. Agak sukar bagi seseorang yang muda untuk mengarahkan individu yang lebih berumur daripada dirinya. Setahun pertama bekerja ibarat tahun yang terseksa. Alhamdulillah..satu sifat yang dikurniakan Allah kepada saya membuatkan saya terus berjuang.


Sifat " Jangan Mudah Mengalah"


Sifat inilah yang telah mencetuskan persoalan kepada diri saya.


"Bagaimana aku hendak mengatasi individu yang sudah berpengalaman bekerja selama 20 tahun?"



Ketika ini saya mula mengakui segulung ijazah di alam pekerjaan adalah hanya lesen "P" untuk mula bekerja. Saya mula memerhatikan orang dan mula mengikut jejak langkah orang-orang yang hebat di tempat kerja saya. Pada awalnya, agak segan untuk bertanya tetapi saya gagahkan diri agar mula memecah tembok pengalaman.

Ternyata ia membawa hasil, orang-orang yang berpengalaman bukannya sombong untuk mengajar tetapi terlalu banyak ilmu di dada mereka sehinggakan mereka tidak tahu hendak bermula daripada mana. Mereka mula mencurahkan ilmu selepas saya mula bertanya.


Peribahasa "Segan Bertanya, Sesat Jalan".


Rupanya inilah maksud peribahasa di atas. Lama-kelamaan saya mula memanggil mereka sebagai Mentor saya. Apa-apa permasalahan saya terus merujuk kepada mereka. Mereka pula tidak segan silu untuk mencurah ilmu yang ada.

Adakalanya mereka segan silu apabila saya memanggil mereka Mentor. Bagi saya ilmu yang dicurahkan kepada saya melayakkan mereka menerima panggilan tersebut. Bayangkan pengalaman selama 20 tahun yang mereka tempuhi, dapat saya timba dalam masa 2 tahun.

Walaupun tidak semua pengalaman yang diterima, ia mampu melonjakkan pengalaman saya ke satu tahap yang baru. Satu tahap dimana jika saya ingin menempuhinya seorang diri, ia memerlukan masa 20 tahun atau lebih. Seorang Mentor akan mengajar apa yang perlu dibuat, apa yang perlu ditinggalkan kepada menteenya.


Mentor...Mentor...Mentor...

Pemahaman saya mengenai erti kata "Mentor" ini bertambah apabila saya mula menyertai Seminar oleh Dr Azizan Osman. Beliau mengatakan Mentor merupakan jalan short cut untuk kita berjaya. Memang tidak dapat saya nafikan, kerana selama ini jalan short cut yang saya ambil ialah Mentor.

Dan

Kita semua mempunyai seorang Mentor yang dikenali seluruh dunia. Seorang Mentor yang menunjukkan cara kehidupan yang diredhai Allah iaitu Junjungan kita Rasulullah saw.


Ingin saya bertanya kepada para pembaca,

"Siapakah Mentor anda?"


Saya sendiri mempunyai ramai Mentor kerana setiap Mentor saya mempunyai kepakaran dalam bidang yang berlainan. Saya juga sarankan para pambaca mula mencari Mentor dalam setiap bidang yang akan para pembaca ceburi.


Apa yang mengerakkan hati saya agar mencari lebih ramai Mentor?


Secara jujurnya, saya sendiri tidak pasti titik tolak yang sebenarnya yang membuatkan saya mula melangkah mencari Mentor di luar bidang kerjaya saya. Sebelum ini saya merasakan kerjaya saya cukup selamat dan cukup bagus untuk menampung kehidupan saya.

Sehinggalah saya tercabar apabila melihat isteri saya mula berubah apabila menyertai Seminar Intensif Mentor Kejayaan dan Kekayaan. Mungkin inilah yang menyebabkan saya mula mencari Mentor untuk ilmu kehidupan.

Sebuah buku "WHO MOVED MY CHEESE?" karya Spencer Johnson, juga menyentuh perasaan saya. Adakah saya hendak kekal selesa tetapi risau dengan perubahan yang mendatang atau mula bersedia menghadapi segala ombak-ombak kehidupan yang bergelora?

Saya sarankan para pembaca untuk membaca buku ini, kerana ia pasti membuka minda para pembaca untuk menghadapi perubahan yang muncul. 



Saya berharap kisah yang saya kongsikan ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada para pembaca mengenai kepentingan kita mempunyai Mentor.

Nantikan post saya untuk perkongsian saya mengenai huruf E di dalam Formula M.E.S.T.I


No comments:

Post a Comment